KOTA BHARU | Penduduk yang terkesan dengan banjir diminta supaya bersiap sedia memandangkan musim hujan dan banjir akan tiba hujung tahun ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, penduduk perlu bersedia dari sekarang memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Katanya, kemungkinan akan berlaku banjir yang agak besar pada tahun ini sedikit tinggi memandangkan beberapa tahun ini kejadian banjir yang kecil.
“Jadi kita harus waspada kerana keadaan cuaca dalam sehari dua ini agak tidak stabil termasuk berlakunya ribut.
“Kemungkinan untuk banjir agak besar tahun ini sedikit tinggi. Jadi kepada penduduk yang berada di kawasan yang terdedah banjir ini saya nasihatkan bersiap sedia dari sekarang.
“Kita jangan leka dan jika terima amaran untuk berpindah, kita minta pindah dengan segera. Jangan tunggu air naik baharu nak pindah,” katanya di sini.
Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Bharu menasihatkan kepada penduduk yang berada di kawasan banjir supaya lebih peka bukan sahaja dengan cuaca, malah turut mengikuti laporan berita daripada media utama mengenai kedudukan semasa.
“Untuk bantu mangsa banjir, kita bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi Skuad Prihatin.
“Di Kota Bharu, kita ada 50 orang Skuad Prihatin dan bahagian lain juga turut ada skuad ini. Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) juga bersedia untuk membantu mangsa banjir,” katanya.