KUALA LUMPUR | Ejen kosmetik wanita yang diculik oleh sekumpulan lelaki di rumahnya di Wakaf Bharu, Tumpat pada 13 September lalu berjaya diselamatkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Wanita berkenaan, Rosnazirah Mohd Naim, 36, berjaya diselamatkan hasil kerjasama antara PDRM dengan pihak berkuasa negara Thailand.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, melalui kerjasama erat antara PDRM dan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya mengenal pasti lokasi keberadaan di Thailand.
Katanya, mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dan to dibawa pulang ke tanah air hari ini.
“Dalam kes ini seramai tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.
“Turut dirampas adalah kenderaan yang digunakan suspek untuk melarikan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PDRM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Polis Diraja Thailand dan kedutaan Malaysia di sana atas kerjasama serta bantuan dalam usaha yang dilaksanakan bagi membantu mangsa.
“PDRM menyeru kepada masyarakat supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian yang menyalahi undang-undang dalam membanteras jenayah,” katanya.