Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyambut baik pelancaran projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), yang akan membabitkan pembinaan 1,500 unit rumah mampu milik di negeri itu setiap tahun.
Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah berkata, pelancaran projek perumahan itu bertepatan dengan ulang tahun kedua kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) yang ditubuhkan pada 29 Sept 2020.
“Dari raut wajah mereka dapat kita gambarkan kegembiraan mereka apabila kini dapat memiliki rumah sendiri,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook selepas menyerahkan replika kunci rumah SMJ Rumah Mesra kepada Gaudi Bonti, salah seorang pemilik rumah baharu, di Kuala Penyu.
“Rancang dan laksana. Keputusan melebihi retorik! Inilah teras perjuangan kita.
“Fokus kepada kerja, dan rakyat akan mendapat manfaat! Rumah Mesra SMJ yang dijanjikan telah dilancarkan, masa untuk semua pimpinan agensi kerajaan terlibat menggerakkan fasa pelaksanaan,” katanya.
Menurut laporan The Borneo Post, rumah bernilai RM70,000 itu akan dibina di semua 73 DUN dan dibiayai oleh geran sebanyak RM125.6 juta daripada kerajaan persekutuan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah.
Hajiji menegaskan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah perlu memastikan hanya penerima yang layak mendapat rumah tersebut, sambil menambah keutamaan perlu diberikan kepada mereka yang tidak memiliki rumah pada masa ini.
Antara kriteria yang perlu dipertimbangkan untuk skim ini ialah keluarga perlu berada dalam pangkalan data e-Kasih isi rumah miskin.