Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainudin hari ini menyatakan bahawa parti komponen gabungan itu hanya akan menggunakan logo sendiri semasa pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Bercakap pada majlis PN Kedah hari ini, Hamzah menolak dakwaan bahawa pengundi mungkin keliru antara logo PN dan BN.
Katanya, ini kerana logo BN mengandungi “dacing” manakala logo PN hanya mengandungi perkataan “Perikatan Nasional”.
“Kitalah satu-satunya parti yang tulis penuh ‘Perikatan Nasional’. Perikatan Nasional dia tulis Perikatan Nasional, warna apapun tidak apa. Kan mudah,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Bagaimanapun, Hamzah berkata logo PN boleh ditukar selepas pilihan raya umum, jika perlu.
“Buat masa ini, biarlah itu logo kita (iaitu) Perikatan Nasional. Itulah logo kita pakai. Insya-Allah. Apabila sudah menang esok, kita sudah berkuasa. Baru buat logo.
“Pada masa itu, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor akan turun dari kampung ke kampung tunjuk, ini logo baru kita,” katanya.
Sebelum ini, Sanusi, yang merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah dan pakar strategi pilihan raya PAS pusat mencadangkan agar logo PN diubah suai kerana tema biru ketika ini menyerupai BN.
Kata Sanusi, ahli PAS tidak suka “biru BN”.
Secara berasingan, Sanusi memberitahu pemberita bahawa komponen PN Kedah menikmati hubungan yang kukuh dan stabil.
“Hanya kita bergelut dengan Barisan Nasional (BN) saja. Hendak berkawan ke (atau) nak melawan kita pun tidak tahu tetapi sekilas ikan di air kita sudah tahu jantan atau betina,” katanya. SUMBER: MALAYSIAKINI