KUALA TERENGGANU | Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu melupuskan secara hancur musnah ke atas sebuah bot nelayan Vietnam yang telah dilucut hak, hari ini.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Terengganu, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, kaedah hancur musnah dilaksanakan ke atas bot yang ditahan tahun lalu.
Katanya, tindakan pelupusan diambil ke atas bot nelayan asing warga Vietnam yang menceroboh perairan negara di bawah kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Bot yang dihancur musnah ini ditahan tahun lalu kerana menceroboh perairan dan mencandat sotong tanpa kebenaran.
“Bot ini ditahan bersama dua kru di sekitar kedudukan 112 batu nautika dari Kuala Terengganu pada 17 Julai tahun lalu,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Menurutnya, Maritim Terengganu telah melupuskan 21 buah vesel pada tahun ini.
Katanya, Maritim Malaysia sentiasa tegas dalam melaksanakan undang-undang di perairan negeri Terengganu, khususnya demi memastikan sumber perikanan negara dapat dilindungi dan kedaulatan negara terpelihara.