PASIR MAS | Kementerian Pembangunan Luar Bandar dalam proses memuktamadkan kaedah pelupusan hutang peserta FELCRA yang tertunggak bernilai RM230 juta.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata jumlah hutang itu membabitkan 20,000 peserta sejak lebih 30 tahun lalu.
Katanya, hutang berkenaan sudah lama dan membabitkan beberapa generasi dengan ada dalam kalangan mereka sudah meninggal dunia.
“Banyak masalah yang dibangkitkan mengenai isu tunggakan hutang membabitkan peserta FELCRA dan sehingga kini berjumlah RM230 juta. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Mini Karnival Keluarga Malaysia FELCRA di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, sekiranya hutang berkenaan tidak dilupuskan, generasi akan datang pun akan mengalami isu sama.
“Jadi, lebih baik kita mencari jalan yang bersesuaian dan kita akan lihat perkara ini selepas Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub membentangkan perkara ini kepada saya,” katanya. SUMBER: BERITA HARIAN