Pernahkah anda mendengar cerita-cerita orang yang diberi jalan keluar daripada masalah – sejumlah wang mampu dikumpulkan dalam masa sekejap untuk rawatan pembedahan, menerima sedekah yang misteri sehingga dapat membayar hutang, terlindung daripada musibah dan lain-lain.
Bunyinya seakan ajaib. Tetapi, mungkin si peminta tahu adanya keajaiban tawakkal dalam doa yang dipinta setelah melakukan segenap usaha.
Tawakkal berasal daripada perkataan “wukul” yang bererti menyerahkan atau mempercayakan. Menurut Ibnu Rejab, tawakkal adalah menyandarkan hati sebenar-benarnya kepada Allah SWT dalam meraih kebaikan dan mengelakkan mudarat berkaitan urusan dunia.
Ia mengandungi pengukuhan iman iaitu rasa yakin dan percaya bahawa tidak ada yang memberi, menghalang, memudaratkan dan memberikan manfaat kecuali Allah SWT.
Usaha Adalah Sebahagian Daripada Tawakkal
Perlu difahami bahawa tawakkal tidak menafikan usaha. Cerita-cerita yang kita dengar pula mungkin kedengaran mudah tanpa si pencerita mengkhabarkan usaha yang telah dilakukan. Sedikit atau banyak, kuncinya usaha mesti ada.
Sebagaimana Rasulullah SAW mengingatkan kepada seorang lelaki pemilik unta:
اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ
Maksudnya: Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakkal. (Riwayat al-Tirmizi, no.2157 dan Ibn Hibban, no.708).
Dalam pesanan ini, Rasulullah SAW menyampaikan mesej bahawa dalam setiap apa pun yang diperlukan usaha perlu ada.
Menurut Imam Ghazali, tawakkal dalam Islam bukan suatu sikap lari daripada sesuatu (eskapisme) bagi orang-orang yang tidak mahu berusaha atau usahanya gagal. Tetapi tawakkal adalah tempat kembalinya segala usaha.
Setelah segenap usaha dilakukan, usaha menemukan jalan akhir, maka sandarkanlah segenap keyakinan kepada Allah bahawa Dia berkuasa memberi kebaikan dan menghalang kemudaratan.
Masuk Syurga Tanpa Hisab
Beruntungnya orang yang bertawakkal, tawakkalnya menjadi kunci untuk masuk syurga tanpa hisab.
Dari Ibnu ‘Abbas, Rasulullah SAW bersabda,
يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مِنْ أُمَّتِى سَبْعُونَ أَلْفًا بِغَيْرِ حِسَابٍ ، هُمُ الَّذِينَ لاَ يَسْتَرْقُونَ ، وَلاَ يَتَطَيَّرُونَ ، وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
“Tujuh puluh ribu orang dari umatku akan masuk syurga tanpa hisab. Mereka adalah orang-orang yang tidak minta diruqyah, tidak beranggapan sial dan mereka selalu bertawakkal pada Rabbnya.” (HR. Bukhari, n0.6472 dan Muslim, no.218)
Bukankah ia anugerah Allah yang paling dicitakan di akhirat kelak – tidak perlu menempuh penantian menunggu diadili amalan. Pendek kata, tawakkal adalah ‘express lane‘ ke syurga!
Di dunia, Allah mencukupkan keperluan orang yang bertawakkal, di akhirat pula mendapat anugerah masuk syurga tanpa hisab.
Sebagaimana Allah Taala menyebutkan dalam Surah At-Tolaq
وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ
“Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya.” (Surah At Tholaq 65:3).
Rasa takut dan gusar dalam menempuh realiti hidup pasti ada, kerana kita manusia yang ada perasaan dan emosi. Ada perkara yang sangat kita risaukan kerana berkait dengan masa depan, berkait dengan hidup atau mati dan bermacam perkara lagi. Tidak salah mengakui apa yang kita rasa.
Namun, ingatlah, jangan biarkan rasa takut dan gusar kita lebih besar daripada rasa yakin kepada Allah bahawa Dia berkuasa melakukan apa sahaja.
Rujukan:
Admin PMWP. (2020). Tashih Al-Mafahim #16: Bolehkah Bertawakkal Tanpa Berusaha. Mufti Wilayah Persekutuan.