KUALA TERENGGANU | Dalam keadaan kerajaan hari ini terbentuk dari parti-parti gabungan, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mendapat persetujuan Kabinet untuk menasihat Yang di-Pertuan Agong.
Ketua Penerangan BERSATU Terengganu, Badrolhisham Shafie berkata Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam sekadar membuat keputusan memberi tekanan kepada Perdana Menteri.
“Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak untuk tidak bersetuju bagi membubarkan Parlimen.
“Dalam kata lain, Presiden parti cuba membuktikan pengaruhnya ke atas Naib Presiden sebagai bukti beliau masih menguasai parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata MKT UMNO sepakat memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini juga.
Katanya, susulan keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong.
Dalam mesyuarat itu juga, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail digantung keahlian parti selama enam tahun atau dua penggal, manakala Datuk Zaharin Mohd. Yasin dipecat daripada menjadi ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.
Mengulas lanjut, Badrolhisham berkata tindakan memecat dan mengantung ahli parti yang mengkritik kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi tujuan yang sama tanpa melalui proses jawatan disiplin parti.
“Sedangkan hakikatnya, imej parti telah rosak akibat pemimpin parti yang korup. Dengan puluhan kes pendakwaan dan ada terbukti bersalah, kekal menerajui parti.
“Syukurlah UMNO kekal begini. Rakyat punya alasan untuk menolak UMNO secara total dengan keangkuhan dan urus tadbir parti yang songsang,” katanya.
Kerajaan Persekutuan sekarang adalah sebuah kerajaan campuran di mana Ahli Parlimen UMNO sekitar 40 orang manakala Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan lain-lain mempunyai ahli Parlimen lebih ramai iaitu seramai 70 orang.