PUTRAJAYA | Seramai 24,588 Pembantu Tadbir Pendidikan di seluruh negara diraikan sempena Hari Pembantu Tadbir Pendidikan pada 1 Oktober.
Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada Sambutan Hari Pembantu Tadbir Pendidikan peringkat kebangsaan, pagi tadi.
Majlis yang dianjurkan oleh Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia (KEPTAN) turut dihadiri oleh Pembantu Tadbir Pendidikan seluruh negara termasuk yang bertugas di sekolah-sekolah.
Mohd Radzi berkata beliau amat menghargai usaha dan kerjasama setiap Anggota Kumpulan Pentadbir (AKP) khususnya Pembantu Tadbir Pendidikan yang sentiasa menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dalam membantu urusan pentadbiran di sekolah berjalan dengan lancar.
“Seramai 24,588 Pembantu Tadbir Pendidikan di seluruh negara merupakan kakitangan yang menyokong ekosistem pendidikan.
“Dalam program ini juga, saya telah menyampaikan anugerah kepada Tokoh Pembantu Tadbir Pendidikan Peringkat Kebangsaan pada tahun ini, iaitu Tuan Haji Aminudin bin Chik.
“Syabas dan tahniah atas kejayaan Tuan Haji Aminudin bin Chik. Syabas serta sumbangan yang diberikan sepanjang perkhidmatan beliau,” katanya.
Beliau berharap sambutan Hari Pembantu Tadbir Pendidikan tahun ini dapat menyuntik semangat kepada semua Pembantu Tadbir untuk terus bekerja dengan penuh berintegriti dan menjalankan tugas dengan amanah.