PUTRAJAYA | Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini memberi gambaran bahawa parti itu tidak memikirkan kebajikan rakyat terutama di kawasan berpotensi terjejas banjir.
Naib Presiden BERSATU, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata ia mengambil kira kesediaan aset terutama sekolah di seluruh negara untuk dijadikan sebagai pusat pengundian, pada masa sama perlu juga digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya penganjuran PRU bertembung dengan bencana banjir.
“Rakyat ketika ini mempunyai perkara lain yang perlu difikirkan terutama selepas terpaksa berdepan kesukaran sepanjang dua tahun setengah negara berdepan pandemik COVID-19.
“UMNO ini rasa dia besar sangat. Dia tak tahu rakyat Malaysia lagi besar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Pelaksanaan Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Presint 15, di sini, hari ini.
Mesyuarat MKT UMNO malam tadi membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan pada tahun ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata susulan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.
Radzi berkata, banyak lagi perkara perlu diberikan tumpuan kerana rakyat ketika ini juga tidak mahukan PRU15 diadakan pada waktu banjir.
“Kalau hari-hari bangun pagi bercakap mengenai pilihan raya kita tak ke mana. Kita tahu bahawa rakyat tak nak buat pilihan raya pada waktu banjir.
“Katalah dia (rakyat) terpaksa berpindah (akibat banjir), tetapi pada masa sama tempat itu nak digunakan untuk pilihan raya juga.
“Dia pun serabut juga, tapi dalam apa jua keadaan ada juga pihak yang meletakkan kepentingan politik ini melebihi segalanya,” katanya menegaskan keadaan itu akan menyukarkan rakyat di bawah, namun yakin pengundi tahu apa pilihan terbaik apabila sampai PRU15 nanti.
Sementara itu, ditanya mengenai penggunaan sekolah sebagai pusat pengundian, beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata pihaknya sentiasa bersedia dari segi aset dan sumber manusia untuk berdepan PRU15 meskipun ia berkemungkinan diadakan ketika bencana banjir hujung tahun ini.
Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai sebuah institusi sentiasa memberi sokongan dan dukungan untuk sekolah digunakan sama ada sebagai PPS ketika banjir, mahupun sebagai pusat pengundian.
Malah, katanya, perkara itu sudah pun dilaksanakan sejak sekian lama.
KPM antara institusi yang terbabit secara langsung apabila berlaku bencana alam seperti banjir berikutan pada kebiasaannya sekolah menjadi pilihan untuk PPS bagi melindungi mangsa banjir.
Selain itu, ada banyak sekolah di seluruh negara yang diwartakan sebagai pusat pengundian untuk sebarang proses pilihan raya, sama ada untuk PRU, pilihan raya kecil (PRK) mahupun pilihan raya negeri (PRN).
Pada masa sama, Radzi yang disebut-sebut bakal bertanding di Putrajaya, berkata, beliau akan menjadi calon di mana-mana kawasan yang diarahkan pucuk pimpinan partinya.