PETALING JAYA | Keterangan ejen jualan kosmetik, Azie yang diselamatkan di Thailand selepas dilarikan tiga individu Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, dekat sini selesai diambil oleh Bukit Aman.
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, susulan daripada itu, Azie dibenarkan pulang bertemu keluarga kira-kira pukul 12 tengah hari ini.
Jelas sumber itu, proses berkenaan selesai dilakukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes itu.
“Bukit Aman telah selesai ambil keterangan mangsa. Dia dijangka pulang ke Kelantan hari ini,” katanya ringkas di sini semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia, melaporkan ejen barangan kosmetik berkenaan kini berada di bawah perlindungan Bukit Aman dan masih berada dalam keadaan trauma.
Utusan Malaysia difahamkan, mangsa diselamatkan oleh pihak berkuasa Thailand sebelum diletakkan di depoh Imigresen, Thailand bagi proses dokumentasi.
Ianya prosedur mana-mana negara, individu yang diselamatkan pihak berkuasa terlibat akan dibawa ke depoh Imigresen bagi proses dokumentasi memandangkan mereka ditemukan tanpa sebarang dokumen perjalanan diri.
Kepakaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand dalam pertukaran maklumat dan risikan membawa kepada penemuan wanita berkenaan dalam keadaan yang baik tanpa sebarang bayaran dibuat sepanjang kehilangannya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu kenyataan memberitahu, mangsa telah dibawa pulang ke negara ini semalam hasil bantuan pihak berkuasa Thailand.
Ads by Kiosked
Kata beliau, sebanyak tujuh individu warga tempatan telah ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.
Jelas beliau, turut dirampas sebuah kenderaan yang digunakan suspek untuk melarikan mangsa.
Wanita berkenaan didakwa ‘dilarikan’ tiga lelaki selepas dikaitkan mempunyai kaitan dengan sindiket dadah.
Susulan itu, tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun ditahan pada 14 September lalu bagi membantu siasatan. – SUMBER: UTUSAN