KOTA BHARU | Khutbah Jumaat yang mempunyai unsur kempen parti politik tidak dibenarkan berlaku.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, khutbah yang condong ke arah kepartian tidak sepatutnya berlaku dalam khutbah Jumaat.
Katanya, isu yang membabitkan kepentingan awam yang menyentuh peristiwa atau perkara berkaitan dengan pentadbiran negara tidak menjadi masalah.
“Khutbah Jumaat ini adalah untuk merungkaikan soalan yang berbangkit dalam masyarakat kita.
“Tetapi kalau (khutbah Jumaat) digunakan untuk tujuan kempen parti tertentu yang tidak ada maslahah umum ia tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Hari Sayyidatina Khadijah Peringkat Parlimen Pengkalan Chepa di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK) di sini, hari ini.
Terdahulu, orang awam mempertikai apabila ada masjid yang memasukkan isu politik di dalam khutbah Jumaat yang menjadi tular di laman Twitter.
Ahmad Marzuk berkata, khutbah yang berunsur politik tidak perlu dimasukkan dalam khutbah Jumaat.
Ketika ditanya tindakan yang akan dikenakan kepada mereka yang mengadakan kempen parti politik dalam khutbah Jumaat, Ahmad Marzuk berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pentadbiran agama negeri masing-masing.
Katanya, pihak agama negeri boleh meneliti perkara itu.