SHAH ALAM | UMNO disifatkan sebuah parti gila kerana mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) pada tahun ini juga.
Ketua Armada BERSATU Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata mengadakan PRU-15 ketika negara dijangka melanda banjir sesuatu yang tidak masuk akal.
“UMNO ini sudah gila, dia tahu nak masuk musim banjir, dia tekan juga kerajaan untuk bubar Parlimen tapi yang gila itu dua tiga kerat sahaja.
“Antaranya presidennya (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang gila, dia juga anti sains kerana kata Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Jabatan Metereologi sudah cakap masuk November peralihan monsun.
“Seperti tahun lalu, banjir yang melanda negara tidak sama seperti tahun sebelum ini kerana ia aman perubahan iklim.
“Sesiapa yang tidak memahami ilmu sains, dia pasti bodoh dalam memahami banjir kali ini, banjir ini akan besar dan menyusahkan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Bahagian BERSATU dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BERSATU Selangor, hari ini.
Perasmian disempurnakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Yang turut hadir, Ketua Srikandi BERSATU Malaysia, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
UMNO pada Jumaat lalu memutuskan untuk menggesa agar pembubaran Parlimen perlu dibuat segera bagi membolehkan PRU-15 diadakan tahun ini juga.
Perkara itu diputuskan parti pimpinan Ahmad Zahid semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Jumaat lalu.