Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Pusat Pengajian Pondok (PPP) Yayasan Islam Kelantan (YIK) tidak dilakukan melalui undian pelajar, sebaliknya dibuat menerusi cadangan MPP terdahulu.
Kemudian cadangan itu diputuskan pengurusan tertinggi PPP YIK dan diselia dua guru penasihat.
MPP PPP bagi sesi 2022-2023 diketuai Mohamad Asyraf Mohd Noor sebagai presiden dan dibantu timbalan presiden, naib presiden, setiausaha dan bendahari.
Mohamad Asyraf berkata, seramai 15 ahli dalam MPP dan dua guru dilantik sebagai mentor iaitu Mohamad Azzahabi Mohd Rusdi dan Muhamad Atiqullah Azhar.
“Kita di Pusat Pengajian Pondok, pemilihan dibuat secara cadangan pelajar oleh MPP dahulu berbeza dengan tempat lain mereka buat pemilihan secara undian dalam pilihan raya.
“Sebaliknya kita buat melalui cadangan MPP sesi sebelum ini memandangkan pelajar di sini hanya 330 orang. MPP dahulu akan bertindak sebagai penasihat,” katanya.
MPP PPP YIK mempunyai 10 jawatankuasa dilantik iaitu Dakwah dan Tarbiah, Imarah Masjid dan Kerohanian, Pendidikan dan Multimedia, Disiplin dan Sahsiah.
Selain itu Kebajikan dan Kesihatan, Sukan dan Rekreasi, Keceriaan dan Fasiliti, Kantin dan Keusahawanan, Kaunseling dan Berjaya serta Asrama dan Pondok.
Muhamad Asyraf juga berkata, MPP sekarang dipilih sebagai tulang belakang utama membantu menjayakan penganjuran Ijtimak Pondok Se Malaysia pada Sabtu lepas.