GEORGETOWN | Mayat seorang lelaki ditemukan terdampar di pantai Pulau Jerejak di sini, semalam.
Mangsa, Mohd Shahrul Mansor, 37, beralamat di Simpang Empat Pulau Pinang ditemui pada jam 12.45 tengah hari.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata,
Pusat Operasi (PUSOP) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menerima panggilan daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi melalui MERS 999 mengenai penemuan satu mayat.
Katanya, hasil maklumat yang diterima, bot ronda diatur gerak ke lokasi dan menemukan satu mayat lengkap berpakaian terdampar di pantai Pulau Jerejak.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban seterusnya diserahkan kepada Balai Polis Sungai Nibong dan dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk bedah siasat serta siasatan lanjut.
“Siasatan awal yang diterima daripada pihak polis, mangsa dipercayai terjatuh dari sampan ketika cuaca buruk di perairan Jelutong ketika keluar menangkap ikan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim agar tidak ke laut sekiranya cuaca buruk dan utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik.