Orang tua-tua dahulu banyak pantang larangnya. Jangan duduk di muka pintu, jangan potong kuku waktu malam, jangan menyapu rumah waktu malam dan sebagainya. Ada yang boleh dikaitkan dengan logik akal ada yang tidak.
Baru-baru ini, ada satu video ceramah yang lalu di muka media sosial, berpesan jangan menyapu rumah waktu malam, kerana ia mengundang kemiskinan. Pesanan itu disandarkan pula pada hadis Nabi Muhammad SAW.
Pelik juga kerana setakat pembacaan (yang mungkin singkat), dan pembelajaran di bangku universiti dahulu, tidak pernah saya dengar pesanan begini daripada mana-mana ustaz. Tanda tanya ini membawa kepada pencarian ulasan-ulasan mereka yang lebih pakar dalam lapangan hadis.
Dr Rozaimi Ramle, seorang pakar hadis di Malaysia yang giat memperbetulkan pemahaman khalayak tentang hadis yang sahih dan tidak, memberi ulasan di media sosialnya Facebook.
Beliau berkata bahawa pesanan jangan menyapu pada waktu malam kerana takut ditimpa kemiskinan langsung tidak wujud dalam hadis. Bahkan ia membawa kepada penyelewengan kepercayaan.
Walau bagaimanapun, Rasulullah SAW kerap mengingatkan supaya melazimi doa meminta agar dijauhkan daripada kefakiran dan kemiskinan. Antara doa yang boleh diamalkan ialah:
Dari Aisyah RA bahawa Nabi SAW pernah berdoa, iaitu:
اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ النَّارِ وَعَذَابِ النَّارِ وَمِنْ شَرِّ الْغِنَى وَالْفَقْرِ
(Allaahumma Innii a’uudzu bika min fitnatin naar wa ‘adzaabin naar, wa min syarril ghinaa wal faqr)
“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari fitnah Neraka dan adzab Neraka, serta dari keburukan kekayaan dan kefakiran.” (HR. Abu Daud no. 1543. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini sahih)
Berhatilah-hatilah ketika mendengar pesanan ceramah khususnya apabila dipetik hadis-hadis, walaupun daripada ustaz yang dikenali, dan didengari pula daripada stesen televisyen atau radio yang dianggap boleh dipercayai. Bidang pengajian Islam luas, tidak semua ustaz yang memberi ceramah itu pakar dalam bidang hadis dan Al-Quran.
Rujukan:
Muhammad Abduh Tuasikal. Doa berlindung dari keburukan kaya dan miskin. rumaysho.com