PAS berpandangan pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat adalah tidak wajar dan tidak perlu disegerakan.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata ia mengambil kira faktor pemulihan ekonomi dan jangkaan musim tengkujuh yang menyukarkan rakyat serta jentera kerajaan.
“PAS tetap akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan semua pihak (parti politik, NGO, ahli akademik, tokoh masyarakat) ke arah menjayakan agenda perpaduan ummah, bagi mencapai titik persamaan dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri, sekali gus mengalahkan Pakatan Harapan,” kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, PAS berpendirian dalam apa jua keadaan, kepentingan negara dan rakyat hendaklah didahulukan,
Pada masa sama, katanya, langkah-langkah pemulihan ekonomi yang perlu terus disokong, khususnya melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.