KOTA BHARU | Sebanyak 729 kes denggi dicatatkan di Kelantan sehingga 1 Oktober lalu tahun ini berbanding 164 kes pada tahun yang sama tahun lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, jumlah kes denggi yang dicatatkan tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 344.51 peratus.
Katanya, sebanyak 40 wabak denggi dilaporkan iaitu 10 wabak masih aktif, manakala 30 daripadanya sudah tamat.
“Dalam tempoh seminggu sehingga 1 Oktober lalu, sebanyak 33 kes denggi direkodkan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagi memutuskan rantaian jangkitan kes denggi di semua lokaliti, pelbagai aktiviti kawalan dan pencegahan dijalankan termasuk kawalan vektor, pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan.
Katanya, sejumlah 187,468 premis diperiksa dan 1,414 kompaun dengan nilai RM707,000 dikeluarkan kepada pemilik premis yang dijumpai terdapat pembiakan Aedes yang dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 (Akta 154).