Masjid ialah tempat yang istimewa dalam Islam. Di masjid, umat Islam daripada pelbagai latar belakang bangsa dengan satu keyakinan akidah yang sama berjumpa, beribadah dan menghubungkan tali persaudaraan.
Mungkin jika di Malaysia, keistimewaan masjid kurang terasa jika dibanding di luar negara. Masjid mudah didapati di mana-mana di sini, tetapi jika di tempat-tempat penduduk Islam ialah minoriti, maka kewujudan masjid membuatkan kita terasa seperti ada saudara di mana-mana. Hati terikat dan rasa selamat apabila berada di masjid.
Istimewanya masjid dalam Islam sehingga pembinaan masjid juga disediakan ganjaran yang besar dalam Islam iaitu orang yang membina masjid sekalipun kecil tetapi ikhlas kerana Allah, maka Allah akan membina untuknya tempat tinggal di syurga!
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ قَالَ “ مَنْ بَنَى مَسْجِدًا لِلَّهِ كَمَفْحَصِ قَطَاةٍ أَوْ أَصْغَرَ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ ”
Daripada Jabir bin Abdullah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Siapa yang membina masjid kerana Allah, sekalipun hanya seperti sarang burung atau lebih kecil, maka Allah akan membina untuknya rumah di dalam syurga” (HR. Ibnu Majah, no.738 – Status Hadis Sahih)
Sebahagian ulama mengatakan bahawa siapa sahaja yang menambah bahagian masjid yang diperlukan, atau para jemaah masjid bekerjasama membangunkan masjid sekalipun bahagian yang kecil seumpama saiz tempat burung bertelur, maka mereka sudah dikira membina dan membangunkan masjid.
Maka, dalam hal ini dapat kita fahami, sumbangan dana yang diberikan untuk pembinaan masjid juga dikira kita juga terlibat dalam proses membangunkan masjid tersebut.
Tetapi yang lebih penting, pemberian itu mestilah ikhlas kerana Allah. Selain itu, tujuan sesebuah masjid dibangunkan bukan untuk tujuan bermegah-megah, tetapi untuk memudahkan orang melakukan ibadah.
Kita ingin menjauhi apa yang disebutkan oleh hadis sebagai tanda kiamat iaitu masjid dibangunkan untuk tujuan bermegah-megah sahaja. Wallahu’alam.
Rujukan:
Muhammad Abduh Tuasikal. (2015). Keutamaan Membangun Masjid Walau Hanya Memberi Satu Bata. Rumaysho.com SUMBER: DHOMIR.COM