Kuala Lumpur (KL) City melakar sejarah dalam kempen Piala AFC apabila menewaskan kelab Uzbekistan, PFC Sogdiana 5-3, menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir antara zon.
Perlawanan sepenuh masa yang berlangsung di Stadium Sogdiyana di Jizzakh, Uzbekistan, berakhir 0-0 dengan Sogdiana mempunyai peluang dan penguasaan bola yang lebih baik.
Namun pasukan tuan rumah buntu, tidak dapat mencari jalan untuk melepasi benteng kukuh KL City.
Penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza, yang membuat penampilan pertamanya dalam Piala AFC, menjadi dalang menyekat serangan Sogdiana melalui enam aksi menyelamat.
Pertahanan wakil Malaysia dimantapkan dengan persembahan dua bersaudara, Ryan dan Declan Lambert, yang bertungkus lumus mengecewakan kelab Uzbekistan itu.
Pada masa tambahan, permainan menjadi sengit kerana kedua-dua pasukan tidak dapat mencipta peluang yang kuat untuk memecahkan kebuntuan.
Perlawanan terpaksa diputuskan melalui penentuan sepakan penalti bagi menentukan siapa yang layak ke final untuk menentang kelab Oman Al-Seeb di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur, pada 22 Oktober ini.
Kapten KL City, Paulo Josue, menjaringkan penalti pertama menewaskan penjaga gol, Shirinboy Abdullaev. Pemain tengah, Romel Morales menjaringkan gol kedua, manakala pemain sayap, Hadin Azman menjaringkan gol ketiga.
Pemain tengah, Akram Mahinan menjaringkan penalti keempat dan penalti terakhir dilakukan oleh pemain pertahanan, Giancarlo Gallifuoco.
Javokhir Qakhramanov menjaringkan penalti pertama untuk Sogdiana. Namun, Mendoza meneruskan persembahan cemerlang dengan menyelamatkan penalti kedua Sogdiana yang diambil oleh Shakhboz Jurabekov.
Luka Cermelj menjaringkan gol ketiga untuk Sogdiana, tetapi sudah terlewat apabila Gallifuoco membawa KL City ke final Piala AFC, sekali gus menyaksikan skuad kendalian Bojan Hodak hanya selangkah lagi untuk menyamai rekod Johor Darul Ta’zim (JDT) yang memenangi pertandingan itu pada 2015.