KUALA LUMPUR | Perikatan Nasional (PN) akan mempertahankan semua kerusi yang disandangnya selain bertanding di kerusi berpotensi tinggi untuk dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata keputusan berkaitan pembahagian kerusi akan diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kita tunggu pengumuman rasmi,” katanya memetik laporan sebuah portal pada Khamis.
Menurut laporan berkenaan, Wan Saiful berkata, persiapan dan koordinasi PRU15 antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat PN yang berlangsung dari jam 3 petang hingga 8 malam itu.
“Bincang juga calon dan kerusi yang akan ditandingi. Banyak perkara yang dapat diselesaikan malam ini,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin pula dilapor berkata, mesyuarat itu turut menetapkan semua jentera PN akan bergerak di bawah nama gabungan itu pada PRU nanti.
“PN akan mengadakan jelajah ke seluruh negara bagi mengulas isu semasa termasuk menganjurkan program gerai prihatin bagi meringankan beban rakyat berdepan kos sara hidup tinggi,” katanya.