Surah Al-Mulk ialah salah satu surah istimewa yang mengandungi pesan-pesan bermakna daripada Allah. Bahkan ada anjuran mengamalkan surah Al-Mulk sebelum tidur untuk penjagaan diri dan penghalang daripada seksa kubur.
Dalam surah Al-Mulk, ada satu ayat istimewa yang menekankan tentang usaha yang optimum untuk mencapai amalan yang lebih baik dalam kehidupan.
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);” (Surah Al-Mulk, 67:2)
أَحْسَنُ عَمَلًا
(Ahsanu ‘amala)
Perhatikan bagaimana Allah menyebut bahawa dunia ini ialah ujian untuk kita menjadi lebih baik dari sehari ke sehari. Allah tidak menyebut yang terbaik. Kerana mustahil untuk jadi terbaik atau the best!
1- Jangan Selesa Dengan Keadaan Amalan Sekarang
‘Lebih baik’ di sini membawa maksud adanya proses dan perubahan sedikit demi sedikit. Ia mengandungi sikap optimis, bahawa diri boleh berubah ke arah lebih baik.
Bermakna apa?
Umat Islam tidak boleh duduk diam dan selesa dengan keadaan diri sekarang. Jika dahulu kita tidak pernah solat, maka perlu ada usaha untuk belajar solat. Jika dahulu tidak pernah menunaikan zakat, maka perlu ada usaha untuk mengeluarkan zakat. Jika dahulu langsung tidak tahu membaca Quran, maka perlu ada usaha untuk belajar tentang tajwid dan mula membaca Al-Quran.
Ada orang yang berubah dengan cepat, dan ada yang mengambil masa yang lebih lama. Tetapi yang penting, ialah progres dan penambahbaikan tetap berlaku.
2- Tahu Meletakkan Prioriti Di Tempatnya
Selain itu, orang yang lebih baik amalnya juga ialah orang yang tahu meletakkan prioriti di tempatnya.
Ibnu Taimiyyah pernah berkata bahawa orang yang faqih (faham) bukan orang yang hanya dapat membezakan antara baik dan buruk, malah dapat membezakan antara yang baik dan lebih baik, serta antara yang buruk dan lebih buruk.
Bermakna, mereka dapat membezakan apa yang mustahak dan lebih baik untuk dilakukan berbanding yang kurang penting.
Mari lihat pesan Rasulullah SAW agar meninggalkan hal yang tidak bermanfaat dilakukan.
Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, beliau bersabda,
مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ
“Di antara kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan hal yang tidak bermanfaat” (HR. Tirmidzi no. 2317, Ibnu Majah no. 3976. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini sahih).
Hal yang tidak bermanfaat terlalu banyak dalam kehidupan kita, contohnya bergaduh di media sosial tentang perkara yang tidak penting, mengata orang, membazir ketika berbelanja, masa dihabiskan terlalu lama dengan media sosial dan pelbagai lagi.
Sudahnya tidak ada apa-apa yang diperoleh melainkan penat dan dosa.
Hal yang tidak bermanfaat mungkin bukan perkara yang haram, tetapi hal yang tidak mendatangkan faedah kepada kita sebagai umat Islam, hal yang dilakukan secara berlebih-lebihan.
Maka, hari ini mari kita mula tanya pada diri adakah amalan yang kita lakukan setakat ini sudah naik ‘level’ ke tahap yang lebih baik?
Rujukan:
Ustaz Nouman Ali Khan. Allah Wants You To Be Better – Surah Al-Mulk SUMBER: TZKRH.COM