KUALA LUMPUR | Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa tiada agenda tergempar yang dibincangkan pada mesyuarat UMNO malam ini.
Beliau berkata, pertemuan tersebut bukanlah mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO khas seperti yang diuar-uarkan, sebaliknya merupakan perbincangan biasa yang dilakukan bagi membincangkan perkara berkaitan parti tersebut.
“Saya ingin memaklumkan bahawa tiada mesyuarat MT UMNO khas malam ini.
“Hanya perbincangan yang kita (lakukan) seperti biasa. Malam ini tiada apa yang luar biasa, biasa biasa sahaja. ” katanya ketika ditemui di Menara Dato Onn di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Maslan tidak menafikan bahawa manifesto parti adalah antara perkara yang dibincangkan pada mesyuarat berkenaan.
“Tentang manifesto, ia tentulah perlu dibincangkan tidak kira Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat ke, atau sebulan dua lagi,” ujarnya.
Mengulas mengenai pembubaran Parlimen, Ahmad Maslan berkata, ia adalah tertakhluk kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Kita serahkan kepada kebijakasaanan Seri Paduka Baginda,” jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kehadiran bekas ahli jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, beliau memberitahu bahawa ia adalah kunjungan biasa.
“Pelbagai pihak datang berjumpa dengan kita. Sesiapa pun boleh berkunjung termasuk duta-duta dan ini adalah persediaan yang biasa,” ujarnya. – SUMBER: KOSMO! ONLINE.