Pas mengingatkan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk tidak saling berbantah antara satu sama lain.
Peringatan itu ditekankan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi ayat 46 surah al-Anfal dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
“Kepada UMNO dan Bersatu, Pas mengingatkan firman Allah (yang bermaksud) ‘Dan taatilah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu saling berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gagal dan hilang kekuatan kamu serta bersabarlah. Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang sabar.’ (Surah al-Anfal: 46),” kongsinya.
Terdahulu, satu mesyuarat khas Pas ketika ini sedang berlangsung di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut di sini.
Difahamkan, mesyuarat yang diadakan di sini turut dipercayai bagi memuktamadkan kerjasama sama ada bersama UMNO atau Bersatu.
Ia susulan UMNO sebelum ini menetapkan tiga syarat untuk bekerjasama dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Tiga syarat kembali menjalin kerjasama politik menerusi gabungan Muafakat Nasional (MN) iaitu Pas perlu keluar daripada PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan men- gumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ 100 peratus daripada PN dan Bersatu. –SUMBER: UTUSAN