KOTA BHARU | Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi menganggap Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan semalam bersifat populis.
Beliau berkata, tidak ada apa yang menarik mengenai bajet yang dibentangkan semalam dari sudut hala tuju ekonomi.
Katanya, tidak ada usaha yang dinyatakan oleh kerajaan untuk memulihkan nilai matawang dan ekonomi.
“Apakah inisiatif kerajaan yang boleh beri impak yang lebih besar untuk satu jangka masa yang panjang? Tidak ada.
“Jadi pada saya, Bajet 2023 hanya untuk tempoh masa satu tahun sahaja dan tidak ada kesan untuk satu tempoh masa yang panjang,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, semalam.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata, kerajaan menerusi Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ada memberi amaran bahawa pertumbuhan akan menurun tahun hadapan.
Katanya, itu sudah lumrah kerana tahun ini negara kekurangan bekalan disebabkan penutupan pasaran dan permintaan terkumpul akibat Covid-19.
“Seperti air pasanglah, apabila air pasang habis, ia akan habislah…dan pertumbuhan ekonomi akan menurun tapi masih lagi positif.
“Tetapi sekiranya perbelanjaan tidak dibuat terutamanya pembangunan yang bernilai RM95 bilion tidak dilaksanakan sebaiknya, maka saya rasakan kelestarian pertumbuhan ekonomi tersebut tidak dapat dipertahankan,” katanya.
Mengulas mengenai penurunan cukai, Mohamed Farid berkata, ia akan berikan kelebihan kepada satu pihak.
“Apabila banjaran pendapatan bercukai lebih RM250,000 hingga RM400,000 akan digabungkan dengan banjaran lebih RM400,000 hingga RM600,000 dan kadar cukai dikenakan sebanyak 25 peratus maka satu pihak yang untung.
“Oleh itu pendapatan cukai kerajaan akan menurun dan pada saya Bajet 2023 agak mengecewakan,” katanya.
Menteri Kewangan semalam mengumumkan sejumlah RM372.3 bilion akan diperuntukkan bagi Bajet 2023 berbanding peruntukan RM332.1 bilion tahun lepas dalam bajet sebelumnya.
“Dengan tekad: “Keluarga Malaysia, Makmur Bersama”, bajet ini akan memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan, kemakmuran ekonomi dan kecekapan perkhidmatan kerajaan,” katanya semasa membentangkan Bajet 2023 di parlimen di sini semalam selepas banyak desas-desus menyatakan pembentangan ini tidak akan diadakan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).