KOTA BHARU | BERSATU Bahagian Kota Bharu mempersiapkan jenteranya bagi menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini.
Ketuanya, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih belum berkesempatan berbincang perkara itu dengan Yang Dipertuan Agong.
Namun katanya, segala kemungkinan perlu diambil kira agar jentera parti sentiasa dalam keadaan bersiap siaga.
“Bubar Parlimen mungkin minggu depan, tapi kita doakan agar benda ni (PRU15) tidak jadi…bukan kerana tidak bersedia, tetapi kita tidak mahu layan sikap rakus kuasa UMNO.
“Kita kena utamakan rakyat kerana banjir bakal tiba, tangguhlah, bukan lama pun…tiga bulan saja. Kalau tidak November mungkin Februari. Jika PRU15 dibuat pada Februari kita tidak akan halang asalkan bebas banjir.
“Walaupun begitu, kita tetap persiapkan jentera kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, semalam.
Mohamed Farid yang juga Ahli Majlis Pimpinan BERSATU berkata, Parlimen Kota Bharu mempunyai 33 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan 186 lokaliti.
Katanya, setiap PDM akan membentuk pasukan masing-masing dan setiap lokaliti akan diketuai orang tempatan.
“Selepas ini kita akan berjumpa dengan setiap PDM dan adakan latihan, kursus agar mereka lebih bersedia dan yakin menghadapi PRU nanti,” katanya.