KUALA LUMPUR | PAS akan meneruskan usaha penyatuan ummah membabitkan ‘komitmen’ dengan ketiga-tiga parti teras Melayu bagi termasuk UMNO dan BERSATU pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Ia diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan pada hari ini.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerjasama itu bagi menjamin kestabilan politik negara pasca PRU-15.
“PAS berpandangan perlu ada ‘keanjalan’ dalam rundingan dengan pihak UMNO dan BERSATU, termasuklah berkenaan syarat-syarat yang dikemukakan dan rundingan kerusi yang sedang diusahakan.
“PAS yang menerajui kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membangkitkan tentang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh terdekat.
“Ia bagi menumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pada pertengahan November sehingga Mac 2023, di samping usaha dan langkah pemulihan ekonomi pasca COVID-19,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.