KOTA BHARU | Membuka ruang rundingan dengan PAS dalam memperkasa Muafakat Nasional (MN) adalah cubaan UMNO untuk melemahkan gabungan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.
Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, berkata beliau yakin dengan hubungan PAS-BERSATU sangat kukuh, selain mempunyai kesefahaman yang tinggi.
Malah, beliau turut difahamkan PAS sudah menolak tiga syarat yang ditetapkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bersama dengan parti itu.
Tiga syarat berkenaan termasuk PAS perlu keluar daripada gabungan PN, memutuskan hubungan politik dengan BERSATU serta mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ berkenaan dan bukan hanya sekadar retorik politik.
“Kita faham strategi PAS untuk pastikan beri peluang tinggi untuk menang di 27 kerusi Parlimen kerana mereka tidak mahu kerusi berkenaan diambil Pakatan Harapan (PH).
“Bagaimanapun, PAS diharap membuat pertimbangan sewajarnya sekali gus menamatkan posisi PAS dalam PN memandangkan PRU-15 mungin diadaan seawal hujung tahun ini.
“Seeloknya PAS tetapkan pendirian supaya kita boleh melakukan persiapan yang sempurna dalam tempoh terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Kejohanan Golf Jemputan Piala Dato Farid Zawawi, di Kelantan Golf & Country Club, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Farid yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu, berkata program itu diadakan bagi menyantuni kumpulan M40 dan T20, selain ingin mendengar pandangan mereka untuk pembangunan Kota Bharu.
“Kita bukan saja perlu mendengar denyut jantung B40, malah keluhan dan cadangan daripada kumpulan lain juga perlu didengari.
“Bagi menjadi Kota Bharu diiktiraf sebagai bandaraya sepenuhnya, banyak infrastruktur perlu ditambah bagi memastikan kemudahan untuk semua golongan dipenuhi,” katanya.