KOTA BHARU | Empat lelaki ditahan untuk siasatan berhubung pemalsuan tandatangan satu surat yang kononnya dikeluarkan oleh Pejabat Sultan Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek berusia antara 45 hingga 70 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, pengadu yang juga pegawai istana mengesan pemalsuan dokumen itu ketika dia berada di Kota Bharu, jam 8 malam, pada 28 September lalu.
Katanya, mangsa telah membaca mesej di aplikasi Whatsapp yang disertakan imej sekeping surat bertarikh 15 September 2022 mengandungi tandatangannya.
“Surat itu menyerupai surat yang dikeluarkan oleh Pejabat Sultan Kelantan mengandungi titah kononnya Sultan Kelantan telah perkenan menyokong penuh usahasama antara tiga syarikat untuk melaksanakan satu projek di salah sebuah jajahan di Kelantan.
“Pengadu menafikan tidak pernah mengeluarkan surat itu dan mengesyaki terdapat individu yang tidak bertanggungjawab telah menyamar sebagai dirinya yang menandatangani surat palsu berkenaan,” katanya.
Menurutnya, laporan polis telah dibuat pada 3 Oktober lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang menipu dengan menyamar.
Beliau berkata, pada 4 Oktober, empat suspek lelaki tempatan telah ditangkap dan ditahan reman sehingga 8 Oktober lalu.
“Polis Kelantan menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan sebarang dokumen yang diterima dalam situasi yang meragukan.
“Semakan hendaklah dibuat dengan pihak yang mengeluarkan dokumen tersebut atau agensi yang berkaitan,” katanya.