Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan November depan.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini.
Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Istana Negara, semalam.
“Dalam sesi menghadap yang tidak berjadual bermula pada pukul 12.00 tengah hari itu, Ismail Sabri telah mengemukakan sembah permintaan beliau untuk perkenan Seri Paduka Baginda bagi pembubaran Parlimen ke-14 berkuatkuasa pada 10 Oktober 2022.
“Setelah memperhalusi permintaan tersebut, maka Seri Paduka Baginda selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan telah memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen ke-14,” katanya.
Tambahnya lagi, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan Baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.
“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat, secara keseluruhannya.
“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah, khususnya bencana banjir,” ujarnya. – SUMBER: KOSMO! ONLINE.