Dalam sistem parlimen dan beberapa sistem separa presiden, pembubaran parlimen ialah pembubaran sebuah badan perundangan untuk membuat pemilihan baharu yang dipanggil pilihan raya.
Biasanya, badan perundangan dalam sistem sedemikian mesti dibubarkan apabila tamatnya tempoh yang ditentukan oleh perlembagaan. Pembubaran awal dibenarkan dalam banyak bidang kuasa.
Di Malaysia, pembubaran Parlimen hanya melibatkan Dewan Rakyat dan tidak bagi Dewan Negara. Dewan Rakyat ini dibubarkan setelah mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
Tempoh maksimum bagi sebuah penggal Dewan Rakyat Malaysia ialah 5 tahun. Ini membawa maksud bahawa genap 5 tahun tarikh pertama persidangan diadakan selepas pilihanraya umum yang lepas, parlimen akan terbubar dengan sendirinya.
Mengikut Perlembagaan, pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran parlimen tersebut.
Dewan Undangan Negeri
Di Malaysia, Dewan Undangan Negeri (DUN) ialah majlis perundangan pada peringkat negeri sama seperti Parlimen pada peringkat persekutuan.
Bezanya, dewan undangan negeri, dengan skop yang diperuntukkan oleh perlembagaan persekutuan dan undang-undang tubuh negeri, mempunyai bilangan dewan yang berbeza iaitu DUN hanya mempunyai satu dewan sahaja.
Sama seperti peringkat Persekutuan, dewan-dewan undangan negeri (DUN) boleh dibubar pada bila-bila masa oleh ketua negeri (Sultan/Raja/Yang di-Pertua Negeri) atas nasihat Menteri Besar/Ketua Menteri.
Tempoh penggal bagi DUN adalah sama dengan Parlimen iaitu 5 tahun dan DUN boleh dibubarkan serentak dengan Parlimen Persekutuan.
Sudah menjadi kebiasaan kebanyakan negeri-negeri di Malaysia membubarkan DUN mereka pada hari yang sama atau tidak lama selepas Parlimen dibubarkan untuk menyertai pilihan raya umum tetapi tidak semua negeri mengikut rentak tersebut.
Sabah (sehingga 1994) dan Sarawak (sehingga kini) antara negeri yang pernah membubarkan DUN pada tahun yang berasingan dengan Parlimen yang menjadikan proses pilihan raya negeri berbeza dengan pilihan raya umum.