Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan pejabatnya di sini kira-kira pukul 4.47 petang tadi bagi menghadiri mesyuarat Biro Politik UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Mesyuarat berkenaan dijadualkan berlangsung pada pukul 5 petang ini sebelum disusuli Mesyuarat Khas Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada sebelah malam.
“Saya sudah umum (pembubaran parlimen), saya nak pergi mesyuarat Biro Politik UMNO,” katanya ringkas ketika ditemui di sini tadi.
Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu diputuskan selepas beliau menghadap Al Sultan Abdullah kelmarin bagi menyembah warkah permintaan mengenai pembubaran berkenaan.
Bagaimanapun, tarikh pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya kelak. – SUMBER: KOSMO! ONLINE