PUTRAJAYA | Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau berkata, warkah permintaan untuk pembubaran Parlimen disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong tengah hari semalam.
“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Yang Dipertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022.
“Saya mengesyorkan Ketua Kerajaan Negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.
Katanya, sementara itu, penetapan tarikh hari penamaan calon dan mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan Kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.
“Proses ini berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan, sejak negara mencapai kemerdekaan.
“Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan Kerajaan, Kerajaan pintu belakang dan Kerajaan tebuk atap,” katanya.
Ismail Sabri berharap, rakyat dapat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023.
Katanya, ini penting bagi mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik.