KUALA LUMPUR | PAS melahirkan rasa kecewa terhadap situasi yang berlaku sehingga Parlimen terpaksa dibubarkan dalam keadaan yang agak tergesa-gesa.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Parlimen dibubarkan hanya dalam tempoh empat tahun lima bulan sahaja dalam Penggal Parlimen Ke-14.
“PAS tetap optimis usaha penyatuan ummah tidak akan digagalkan oleh sesuatu agenda yang bukan untuk kepentingan awam dan Negara.
“Sehubungan itu, PAS mengajak seluruh rakyat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sangat penting ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU15.
Perdana Menteri membuat pengumuman itu menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara, menerusi siaran televisyen dan media dalam talian pada jam 3 petang ini.