BACHOK | Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima seramai 2,289 orang pelajar baharu bagi mengikuti program pengajian Semester September, Sesi Akademik 2022/2023, semalam.
Naib Canselor UMK, Prof Dr Razli Che Razak berkata, sesi pendaftaran diadakan secara bersemuka di ketiga-tiga kampus iaitu Bachok, Kota di Pengkalan Chepa dan Jeli selepas beberapa semester tidak diadakan disebabkan oleh pandemik COVID-19 sebelum ini.
Katanya, jumlah kemasukan pelajar itu dijangka menunjukkan peningkatan berikutan proses pendaftaran pelajar masih berlangsung termasuk proses rayuan.
“Tahun ini, UMK menawarkan 3,688 tempat kepada pelajar baharu dan seramai 2,620 setuju terima untuk melanjutkan pengajian di ketiga-tiga kampus UMK.
“Alhamdullilah, proses pendaftaran pelajar berjalan lancar dan pihak UMK menerima maklum balas positif daripada pihak ibu bapa dan sebahagian mereka teruja serta gembira melihat anak-anak mereka berjaya melanjutkan pengajian di sini,” katanya.