TEMERLOH | Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini adalah usaha Perikatan Nasional (PN) untuk menyelamatkan negara daripada terus terjerumus ke lembah kerosakan yang lebih dalam.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, seperti mana sebelum ini, beliau tegaskan sekali lagi tentang keperluan rakyat memastikan PN menang dalam pilihan raya bagi menentukan masa depan rakyat dan negara yang lebih baik, cemerlang dan gemilang.
“Ini kerana situasi mutakhir negara tidak seperti waktu dahulu dengan politik yang tidak stabil, ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik COVID-19 serta imej negara pada mata dunia yang semakin merosot.
“Percayalah ini semua akan dapat kita capai jika kita terus istiqamah dengan semangat kerjasama dan perpaduan erat serta bekerja bersungguh-sungguh sesama kita serta menggerakkan jentera pilihan raya dengan rasa penuh tanggungjawab.
“Saya juga merasa gembira apabila kita mencapai persetujuan untuk bergerak atas nama jentera pilihan raya PN sahaja sepanjang tempoh berkempen. Ini merupakan isyarat yang jelas kepada rakyat bahawa PN merupakan pilihan terbaik untuk menerajui negeri ini selepas PRU nanti,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Terdahulu beliau melancarkan PN Pahang, di sini pada Isnin. Pahang merupakan negeri kelima PN dilancarkan secara rasmi dan kebetulan jatuh pada hari Parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU15 diadakan.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung YB Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Bendahari Agung Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta kepimpinan peringkat negeri Pahang seperti Timbalan Pengerusi PN negeri merangkap Pesuruhjaya Pas Negeri YB Ustaz Rosli Abdul Jabar dan Pengerusi Gerakan Pahang Ranndy Yap Kim Heng.
Beliau menyeru kepada semua supaya sama-sama berdoa agar perjalanan pilihan raya ini tidak terganggu dengan kejadian banjir yang sudah mula berlaku sekarang ini atau situasi buruk yang menyebabkan rakyat tidak boleh melaksanakan tanggungjawab memilih.
“Saya dapat merasakan ‘mood’ pilihan raya sudah bermula melihat kepada jumlah kehadiran orang ramai pada majlis ini,” katanya.