Selepas lapan penggal menjadi Adun Pelangai, bekas Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob mengumumkan untuk ‘bersara’ daripada arena politik.
Pengumuman itu dibuat ketika sesi perbahasan Belanjawan Pahang 2023 pada sidang DUN Pahang, petang semalam.
“Kita semua sedia maklum, sidang DUN Pahang akan dibubarkan sedikit masa lagi, jadi saya anggap ini adalah ucapan terakhir dalam dewan sebelum saya bersara sepenuhnya,” katanya.
Adnan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang pernah bersama dengannya sepanjang menjadi menteri besar sejak 1999 sehingga 2018.
Karektor Adnan sentiasa mencuri tumpuan media dan sering mengundang kontroversi semasa menerajui negeri itu.
Dia pernah mengumumkan hasratnya untuk bersara pada tahun 2016, namun melihat belum ada calon sesuai untuk menggantikan tempatnya sebagai menteri besar.
“Saya sudah lama berpolitik, kalau saya bersara pun patut,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ketereh 2016 di Dewan Tun Abdul Ghaffar Baba Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat, Kota Bharu, Kelantan.
Dalam pada itu, Adnan menyatakan rasa syukur kerana kerajaan Pahang yang kini ditadbir dengan baik oleh Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail.
“Pahang bernasib baik mendapat hamba Allah bernama Wan Rosdy, anak Lipis untuk menjadi menteri besar dengan pengalaman, kelayakan, dia seorang yang mempunyai ‘temperament’ yang baik, maknanya tidak beremosi, tidak marah, tidak mudah excited macam sesetengah orang.
“Saya percaya, Wan Rosdy dapat mengemudi BN pada pilihan raya ini dan insya-Allah dapat membentuk kerajaan Pahang selepas itu,” katanya lagi. SUMBER: MALAYSIAKINI