BALTIMORE | Pendakwa raya negeri Maryland, Amerika Syarikat menggugurkan pertuduhan terhadap Adnan Syed yang didakwa sebelum ini sabit kesalahan pembunuhan Hae Min Lee pada 1999, selepas bukti DNA menyokong bahawa lelaki Muslim itu tidak bersalah.
Pejabat peguam negeri Baltimore City mengesahkan perkara itu pada Selasa (11 Okt) waktu tempatan, lapor NBC News.
Tuduhan itu digugurkan kira-kira tiga minggu selepas sabitan pembunuhan Syed dibatalkan dan kes itu mendapat perhatian umum pada tahun 2014 selepas ia disiarkan menerusi podcast, Serial.
Peguam Negara Baltimore City, Marilyn Mosby berkata pada sidang akhbar bahawa beliau menggugurkan kes itu selepas pusingan kedua ujian DNA sentuhan item yang tidak pernah diuji sebelum ini.
“Pegawai menguji skirt, pantyhose, kasut dan jaket milik Lee, dan campuran DNA pelbagai penyumbang yang sama ditemui pada kedua-dua kasut gadis itu, dan ujian kemudian tidak menemui DNA Syed pada kesemua bahan bukti berkenaan,” jelas Mosby.
Beliau menegaskan bahawa ujian DNA sentuhan item berkenaan, yang menganalisis sel kulit yang ditinggalkan di tempat kejadian telah digunakan sejak 2003; dan kes itu pada asalnya dibawa untuk pendakwaan pada 1999, yang mana pada ketika itu, kemajuan dalam teknologi berkenaan telah dibenarkan untuk diguna pakai dalam kes-kes jenayah.
“Pejabat saya menerima notis keputusan ini pada Jumaat minggu lepas dan pada pagi ini (11 Okt), saya sendiri menghubungi peguam mangsa untuk memaklumkan kepada keluarga mendiang Lee tentang penemuan bukti ujian DNA berkenaan. Justeru saya membuat keputusan untuk menggugurkan kes itu.
“Kami cuba menunggu pengesahan notis sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan secara terbuka, tetapi pada ketika ini kami masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada pihak peguam,”katanya.
Menurut AP News, Mosby berkata walaupun pentadbirannya tidak bertanggungjawab untuk kesakitan yang ditimbulkan ke atas keluarga Lee atau untuk sabitan salah Syed, sebagai wakil institusi, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mengakui dan memohon maaf kepada keluarga Lee dan Syed.
Mosby berkata lagi, Syed kini sepatutnya dilepaskan daripada tahanan di rumah dan dia mesti menjalani proses pensijilan yang dimulakan oleh peguamnya untuk menganggapnya tidak bersalah.
“Kes ini sudah selesai. Tiada lagi rayuan yang diperlukan,” ujar Mosby pada sidang akhbar.
“Pejabat saya akan terus menggunakan setiap sumber yang ada untuk mendakwa sesiapa yang bertanggungjawab atas kematian Hae Min Lee,” katanya.
Peguam Syed, Erica Suter dalam pada itu meraikan perkembangan terbaharu kes anak guamnya itu, sambil menyatakan bahawa Syed belum bersedia untuk bercakap kepada media secara terbuka.
“Hari ini merupakan hari yang Adnan Syed dan orang tersayangnya telah nantikan selama 23 tahun.
“Hasil ujian DNA mengecualikan Adnan dan mengesahkan apa yang Adnan dan penyokongnya sentiasa tahu bahawa Adnan Syed tidak bersalah dan Pendakwaraya Maryland telah menggugurkan pertuduhan. Adnan Syed kini bebas,” katanya. -AGENSI