KUALA TERENGGANU | Mungkin ramai masih ingat ketika PAS mentadbir Terengganu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 royalti petroleum yang dibayar kerajaan Pusat tiba-tiba dihentikan.
Lapan bulan selepas PRU 1999 pemimpin Umno Terengganu difahamkan menggesa kerajaan Pusat menghentikan bayaran royalti.
Sedangkan sebelum itu ketika Terengganu di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) tiada istilah wang ehsan.
Mengulas perkembangan itu anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Dr Alias Razak berkata, sebagai Adun pada 1999 beliau ada pengalaman terhadap berlaku ketika itu.
“Memang kerajaan Pusat kerat habis 100 peratus royalti petroleum milik Terengganu. Mereka nafikan hak royalti milik kerajaan Terengganu.
“BN yang menguasai kerajaan Pusat menyekat bayaran tersebut. Pada ingatan saya kita pernah terima sekali royalti sebelum dia (kerajaan BN) buat keputusan untuk sekat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, hanya sekali dapat royalti dan selepas itu tiada lagi.
Menurutnya juga selepas PAS menang semula pada PRU 2018, kerajaan negeri berunding dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menguasai Putrajaya.
Kata beliau Kerajaan PH setuju membayar semula royalti namun dipotong 25 peratus untuk bayar hutang.
“Kerajaan PH bayar royalti yang dinamakan sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan, namanya diubah,” ujarnya.