Robert Lewandowski menjaringkan dua gol pada penghujung perlawanan untuk memastikan Barcelona meraih satu mata dalam keputusan seri 3-3 dengan Inter Milan, sekali gus memberikan sedikit harapan untuk mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.
Barcelona berdepan penyingkiran di peringkat kumpulan pertandingan untuk musim kedua berturut-turut, tetapi jaringan penyamaan Lewandowski pada masa kecederaan memberi mereka peluang tipis untuk mara dengan baki dua perlawanan.
Inter memerlukan kemenangan di tempat sendiri ke atas Viktoria Plzen minggu depan untuk menyertai Bayern Munich dalam pusingan 16 terakhir.
“Ia teruk, saya rasa Liga Juara-Juara ini sangat kejam kepada kami. Sekarang ia di luar kuasa kami. Apa yang tinggal untuk kami ialah mengalihkan perhatian dengan cepat kepada El Clasico, Ahad ini (menentang Real Madrid), bangkit semula dan fokus pada LaLiga kerana Liga Juara-Juara menjadi sangat sukar dan rumit untuk kami,” kata Pengurus Barcelona, Xavi Hernandez.
Sehingga tahun lalu, Barca mara ke sekurang-kurangnya pusingan 16 Liga Juara-Juara dalam setiap musim sejak 2001, tetapi kini berdepan prospek tergelincir ke Liga Europa untuk musim kedua berturut-turut.
Diiringi sorakan peminat mereka di Camp Nou yang tiket habis dijual, Barcelona bermula baik dengan Raphinha menjadi nadi serangan mereka. Penjaga gol Inter, Andre Onana melakukan tiga aksi menyelamat daripada serangan pemain Brazil itu.
Namun seperti di Milan, minggu lalu, Inter hebat dengan taktik serangan balas pada separuh masa pertama dan hampir menjaringkan gol dalam tiga keadaan.
Edin Dzeko melakukan rembatan jarak dekat pada minit ke-17, Henrikh Mkhitaryan membuat rembatan jarak jauh yang diselamatkan oleh Marc-Andre ter Stegen, yang turut menafikan usaha Denzel Dumfries dalam keadaan satu lawan satu.
Dalam gerakan yang dimulakan oleh Raphinha di garisan tepi kanan, kelab Sepanyol itu mendahului menerusi rembatan jarak dekat Ousmane Dembele hasil hantaran lintang Sergi Roberto lima minit sebelum rehat.
Keadaan berubah selepas rehat apabila Nicolo Barella menyamakan kedudukan pada minit ke-50 menerusi sepakan lambung hasil hantaran lintang Alessandro Bastoni yang sering menimbulkan masalah kepada pertahanan Barcelona.
Rembatan Lautaro Martinez dari tepi kawasan yang melantun kedua-dua tiang sebelum masuk meletakkan Inter di depan 13 minit kemudian. Mereka boleh menambah jaringan sekurang-kurangnya dua kali, tetapi dinafikan oleh Ter Stegen.
Ketika Barcelona dalam dalam mod serangan habis-habisan, Lewandowski menyamakan kedudukan daripada bola muntah pada minit ke-82.
Inter kembali mendahului satu minit sebelum tamat melalui jaringan Robin Gosens, tetapi tandukan Lewandowski tiga minit kemudian menyelamatkan Barca yang berada di tangga ketiga dalam kedudukan Kumpulan C dengan empat mata, tiga mata di belakang Inter dan lapan mata di belakang Bayern Munich.
“Bola sepak adalah permainan kesilapan dan kami tidak mampu menanggungnya dalam situasi seperti ini.
“Ini adalah Liga Juara-Juara dan anda membayar harga yang mahal bagi setiap kesilapan yang dilakukan. Anda perlu menang, bertahan dengan baik dan menjaringkan gol. Kami perlu bermain sepanjang perlawanan seperti yang kami lakukan pada separuh masa pertama. Sekarang ia sukar kerana kami tidak mengawalnya lagi,” kata Xavi. SUMBER: AGENSI