KOTA BHARU | Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan 2,684 kompaun ke atas individu atas kesalahan merokok sepanjang Januari hingga Isnin lalu.
Kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004).
Pengarah JKNK Dato’ Dr Zaini Hussin berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,224 individu dikesan melakukan kesalahan merokok di kawasan larangan di bawah Peraturan 11(1) PPKHT 2004.
Manakala 460 individu lagi katanya, dikompaun atas kesalahan orang belum dewasa merokok di bawah Peraturan 13 (1) PPKHT 2004.
Dalam kenyataannya di sini katanya, sepanjang operasi itu, 95 kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis, kenderaan dan bangunan di bawah Peraturan 12(1)(a) PPKHT 2004 dikeluarkan ke atas individu.
Kata beliau pada masa sama, 94 kesalahan menjual rokok peket dibuka di bawah Peraturan 9(1) PPKHT 2004 telah direkodkan sepanjang operasi itu.
“JKNK turut mengeluarkan 64 notis kesalahan menjual rokok bawah harga minimum di bawah Peraturan 8C(1) PPKHT 2004.
“Sebanyak 33 kesalahan merokok di mana-mana tempat atau premis diisytiharkan oleh Menteri Kesihatan bawah Peraturan 22(2) PPKHT 2004 dan 59 kes kesalahan lain-lain di bawah PPKHT 2004,” katanya.
Dr Zaini juga berkata, sepanjang operasi terbabit Kota Bharu merekodkan pengeluaran notis tertinggi iaitu 575, Tumpat (546), Tanah Merah (354) Machang (320), Bachok (313), Pasir Puteh (274), Gua Musang (270), Jeli (167), Pasir Mas (132) dan Kuala Krai (78).