TAOYUAN | Taiwan kini mengalu-alukan kedatangan kembali golongan pelawat asing ke negara itu bermula Khamis (13 Okt) selepas negara itu menamatkan kuarantin mandatori sebelum ini untuk mengawal penularan wabak Covid -19.
Langkah penamatan itu adalah sebahagian daripada perancangan Taiwan untuk membuka semula sempadan, sekali gus mengalu-alukan kedatangan semula pelancong ke negara itu.
Sebelum wabak pandemik Covid-19, Taiwan merupakan salah satu destinasi pelancongan yang popular. Kebanyakkan pelancong yang datang ke Taiwan adalah dari Jepun, Korea Selatan dan Asia Tenggara, tertarik dengan masakan dan keindahan alam semula jadi pulau itu.
Walaupun Taiwan telah melaporkan hampir tujuh juta kes domestik sejak awal tahun ini, kerajaan telah meneruskan penamatan perintah kuarantin dengan mengatakan kehidupan harus kembali normal, terutamanya memandangkan kadar vaksinasi yang diberikan agak tinggi.
Jurucakap khas kementerian, Lo Ping Cheng berkata, negara itu turut mengalu-alukan kedatangan pelancong untuk melawat ke Taiwan.
Tambahnya, pelbagai acara dan tarikan menarik disediakan bagi mengembalikan sektor pelancongan yang terkesan sebelum ini.
“Kerajaan Taiwan turut mengalu-alukan ketibaan pertama yang mendapat manfaat daripada tamatnya kuarantin dalam penerbangan dari Bangkok di lapangan terbang antarabangsa utama Taiwan di Taoyuan, di luar Taipei.
“Mereka telah tiba pada waktu tengah malam Khamis (waktu tempatan). Kumpulan pelancong pertama yang turun dari pesawat menuju ke Taiwan, telah menerima hadiah berupa beruang hitam mainan peluk,” katanya.
Walau bagaimanapun, Taiwan masih mengekalkan beberapa peraturan kemasukan dan kuarantinnya apabila sebahagian besar kawasan Asia melonggarkan atau membatalkannya sepenuhnya.
“Beberapa peraturan kekal, termasuk keperluan untuk orang ramai memantau kesihatan mereka selama tujuh hari selepas ketibaan dan melakukan ujian pantas ke atas diri mereka sendiri,” ujarnya.
Pada bulan Jun yang lalu, Taiwan telah mengurangkan bilangan hari yang diperlukan secara berasingan untuk ketibaan kepada tiga daripada tujuh sebelumnya.
Kerajaan negara itu juga akan meningkatkan had ketibaan mingguan untuk pengembara antarabangsa sebanyak 10,000 hingga 60,000, katanya, dengan tiada lagi ujian PCR semasa ketibaan.
Dua syarikat penerbangan utama Taiwan, China Airlines Ltd. dan Eva Airways, telah pun meningkatkan jumlah penerbangan iaitu dengan menyediakan semula kapasiti penerbangan bagi laluan perjalanan yang sebelum ini dikurangkan disebabkan pandemik Covid-19.
Justeru, syarikat-syarikat penerbangan tersebut juga dalam perancangan untuk menawarkan khidmat penerbangan ke bandar-bandar seperti Da Nang di Vietnam.
Terdahulu, warganegara Taiwan dan pendatang asing dibenarkan keluar dan kemudian masuk semula ke negara semasa wabak Covid-19, tetapi dikenakan kuarantin di rumah atau di hotel sehingga dua minggu. SUMBER: AGENSI