KOTA BHARU | Sudah tiba masanya semua pemimpin parti Melayu berlapang dada meletakkan agenda penyatuan Melayu melangkaui segala kepentingan puak, kumpulan dan individu tertentu.
Ini kerana, Timbalan Presiden Khalifah Nasional Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani, berkata DAP ketika ini sedang menutup mulut gelak kegembiraan melihat Melayu terutama BERSATU, UMNO, serta PAS sedang berperang mengekalkan kuasa dan mencari kuasa.
Katanya, mereka tidak melagakan tetapi pemimpin Melayu tetap berbalah, malah tidak mengapi-apikan, namun berperang sehingga membakar sesama sendiri.
Beliau turut mempersoalkan apakah istilah ‘Melayu Perlu Bersatu’ itu terlalu sukar dihayati hanya kerana perkiraan kuasa semata-mata atau ia tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada semua pemimpin.
“Kami semakin muak dengan perkiraan dan perhitungan siapa akan jadi Perdana Menteri. Kami semakin bosan dengan pelbagai teori akan ada Perdana Menteri Interim. Kami jadi benci dengan orang politik Melayu yang saban hari saling menyerang sesama sendiri.
“Apakah tidak boleh untuk seketika apabila negara dalam waktu getir dan rakyat dalam kesusahan ini, semua orang politik berhenti mencongak serta berkira soal politik gila ini?
“Apakah susah untuk bangsa Melayu diam dan tenang untuk duduk bersama tanpa pertikaikan engkau lebih dan aku kurang. Apakah susah untuk pemimpin Melayu ini mengusap dada dan bersabar atau lembutkan nafsu serakah untuk mengejar kuasa semata-mata?,” katanya.
Menurutnya, BERSATU perlu buang sedikit ego dan ketamakan kuasa, PAS pula kurangkanlah sedikit politiking kepartian semata-mata, dan UMNO perlu berhenti meminta-minta semata-mata untuk kuasa serta kedudukan.
“Duduklah semeja, carilah titik temu, bukannya mencari salah rakan. Jangan pula mengungkit dan berkira, tinggalkan ego serta perkiraan peribadi diluar bilik mesyuarat.
“Rakyat senang melihat Melayu bersatu dan rakyat bersyukur melihat DAP digulingkan. Melayu sujud syukur apabila kerajaan zalim Pakatan Harapan (PH) lagi gagal dan jatuh disebabkan tangan mereka sendiri.
“Tak mungkin tiada cara untuk bekerjasama antara parti-parti Melayu. Cuba tolak ansurlah antara kamu dan berkongsilah sebuah kerajaan tanpa ada yang tidak puas hati.
“Cari solusi dan capai konsensus untuk sekali ini agar Melayu boleh bersatu kerana musuh semakin bersemangat melihat episod akhir sehingga bermunajat dan berzikir memohon agar BERSATU, PAS dan UMNO bergaduh sesama kalian,” katanya.
Beliau turut memohon agar pemimpin Melayu merenung wajah naif rakyat serta rataplah nasib susah dan kesengsaraan mereka.
“Susah kamu kerana tak boleh membeli banglo harga puluhan juta untuk hadiah hari jadi isteri tetapi susah kami duit sewa rumah berbulan tertunggak tunggu dihalau anak beranak. Susah kamu kerana tak boleh kumpul ratusan juta untuk tahun ini tetapi susah kami usahkan simpanan, motor buruk pun kami gadai dan cagar untuk makanan mengalas perut anak-anak kami yang kelaparan.
“Fikirlah wahai pemimpin Melayu kerana jika kali ini kamu tidak mampu bersatu, jangan harapkan bangsa ini akan terus kekal ditanah sendiri. Jika kamu masih berbalah dan berpecah kerana kuasa dan kedudukan maka jangan harapkan kami untuk berperang mempertahankan negara jika tanah ini akan dijajah.
“‘Bumi Hangus’ impian DAP makin hampir menjadi realiti dek kerana kedajalan pemimpin yang terus berkira dan mencongak demi kuasa,” katanya.