KOTA BHARU | Kerjasama PAS bersama parti-parti dalam gabungan lain masih terbuka luas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15).
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rundingan tersebut hanya akan berakhir pada hari penamaan calon.
Katanya, keputusan tersebut belum berakhir bahkan PAS masih terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain termasuk Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Bagi saya apabila parlimen dibubarkan selagi belum sampai hari penamaan calon apa sahaja boleh berlaku sama ada bentuk gabungan parti.
“Ini kerana hari penamaan menentukan satu-satu parti dalam gabungan mana dan sebagainya, jadi bagi saya benda ini belum lagi,” katanya selepas perasmian Karnival Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSa) Kota Bharu Prihatin di Lembah Sireh di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Setiausaha KetSA, Dato’ Rosli Isa dan anggota Exco kerajaan negeri Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman.
Ditanya pertemuan antara Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Pengerusi Pejuang Tun Mahathir Mohamad minggu lalu beliau berkata, PAS tidak diberi maklum mengenainya.
Menurutnya sebagai salah satu parti menyokong penubuhan Perikatan Nasional (PN) sebarang keputusan perlu dibuat secara kolektif.
Sebelum ini kata beliau PAS pernah mengadakan pertemuan bersama Umno malah isi kandungan perbincangan turut dimaklumkan dalam PN.