BERLIN | Masjid terbesar di Jerman buat pertama kalinya akan membenarkan laungan azan pada esok (Jumaat, 14 Okt) waktu tempatan, selepas pihak berkuasa bandar di Cologne memberi kebenaran untuk projek perintis, di bawah had yang ketat.
Masjid Pusat Cologne, sebuah bangunan megah di daerah Ehrenfeld di barat bandar itu, akan dibenarkan melaungkan satu azan melalui pembesar suara sehingga lima minit pada hari Jumaat, antara tengah hari dan jam 3 petang; dengan tahap bunyi tidak boleh melebihi 60 desibel, lapor Kuwait Times.
Perjanjian itu, yang merupakan sebahagian daripada projek perintis dua tahun itu akan ditandatangani secara rasmi oleh pegawai Cologne pada hari ini (Khamis, 13 Okt) waktu tempatan.
Masjid di beberapa bandar di Jerman sudah lama diberi kuasa untuk menyiarkan azan, tetapi bandar Cologne hanya meluluskannya mulai awal Oktober lalu. Di negara-negara majoriti Islam, muazin menyeru orang beriman untuk menunaikan solat lima waktu sehari.
“Kami sangat gembira. Ini kerana azan buat orang ramai adalah tanda bahawa umat Islam berada di rumah di sini,” kata Abdurrahman Atasoy, Setiausaha Agung Pertubuhan Ditib Turki-Islam (Ditib) yang mengendalikan masjid itu kepada media tempatan, lapor Morocco World News.
Datuk Bandar Cologne, Henriette Reker berkata, membenarkan azan adalah sebagai ‘tanda penghormatan’ kepada orang Islam yang mendiami bandar itu.
Statistik menunjukkan bahawa bilangan orang Islam yang tinggal di Jerman meningkat daripada 3.3 juta kepada hampir 5 juta antara 2010 dan 2016, mewakili 6.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Jerman.
Pusat Penyelidikan Pew berkata bahawa imigrasi telah menjadi faktor utama dalam pertumbuhan penduduk Islam di Jerman.
Projek itu bukan tanpa kontroversi, terutamanya kerana penglibatan Ditib, yang mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan menguruskan lebih 900 masjid di Jerman.
Pengkritik bagaimanapun menuduh pertubuhan itu mengintip penentang Turki yang tinggal di Jerman. Erdogan sendiri pergi ke Cologne pada 2018 untuk merasmikan Masjid Pusat, mencetuskan perhimpunan beribu-ribu penunjuk perasaan pro dan anti-kerajaan. SUMBER: AGENSI