LONDON | Sekitar 5.3 billion telefon pintar dijangka akan menjadi sebahagian daripada sampah elektronik atau e-waste menjelang akhir tahun 2022, lapor laman berita Wion News semalam.
Forum Sampah Peralatan Elektrik dan Elektronik (WEEE) membuat anggaran itu berdasarkan data perdagangan global dengan memberi tumpuan kepada masalah sampah elektronik yang semakin meningkat.
Mereka yang menyimpan telefon lama sebagai kenangan dianggap mengabaikan hakikat bahawa gajet itu mempunyai mineral berharga yang boleh diekstrak jika diserahkan untuk dikitar semula.
Hal ini kerana bahan seperti tembaga dalam wayar, kobalt dalam bateri boleh dicas semula serta bahan perlu dilombong untuk penghasilan peranti baharu.
“Telefon pintar adalah salah satu produk elektronik paling membimbangkan buat kami.
“Orang ramai cenderung untuk tidak menyedari bahawa kesemua barangan itu mempunyai mineral berharga dan mewakili jumlah yang besar di peringkat global, kata ketua pengarah WEEE, Pascal Leroy seperti dipetik Badan Penyiaran Britain (BBC).
Lebih 16 bilion telefon bimbit dihasilkan di seluruh dunia dengan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada jumlah itu tidak lagi digunakan di Eropah.
WEEE turut mengemukakan masalah ketara mengenai pengumpulan sampah elektronik secara keseluruhan dan tidak terhad kepada telefon bimbit.
Badan itu memaklumkan bahawa telefon bimbit menjadi sebahagian kecil daripada longgokan 44.48 juta tan sampah elektronik di seluruh dunia pada setiap tahun yang tidak dikitar semula.
Mereka mengkaji bagaimana mesin basuh, pembakar roti, tablet, komputer dan peranti sistem kedudukan global (GPS) akan bertambah menjadi 74 juta tan sampah setahun menjelang 2030. – SUMBER: Agensi