KUALA LUMPUR | Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) membuat ketetapan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BERSATU juga mengambil maklum pendirian Majlis Presiden PH yang telah membuat keputusan untuk tidak mengadakan kerjasama dengan BERSATU.
Katanya, BERSATU akan memberi tumpuan kepada usaha untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) bersama PAS, GERAKAN, SAPP dan STAR Sabah.
“Ia juga sebagai usaha gabungan politik pelbagai kaum di negara ini yang berhasrat menawarkan kepimpinan yang bebas rasuah, cekap, prihatin demi kemakmuran seluruh rakyat.
“Selaras dengan prinsip demokrasi dan kebebasan rakyat untuk memilih, BERSATU bersedia untuk menghadapi pertandingan pelbagai penjuru dalam PRU15 membabitkan PN, Barisan Nasional (BN), PH dan parti-parti politik lain yang akan bertanding,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, pintu kerjasama PH masih terbuka buat mana-mana parti yang mempunyai agenda yang sama iaitu menentang rasuah dan salah guna kuasa.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH boleh bersama mengadakan pakatan pilihan raya dengan mana-mana parti termasuk dari Parti Gerakan Tanah Air (GTA) mahupun BERSATU.