Festival Main Gayong yang bakal berlangsung pada 27 dan 29 Oktober ini bakal mengumpulkan persatuan dan perguruan silat dari seluruh Nusantara atau Kepulauan Melayu
Pengerusinya, Hazri Jusoh, berkata festival berkenaan diadakan susulan penerimaan sambutan hangat daripada Karnival Main Gayong 2019 sebelum ini yang menerima sebanyak 106 penyertaan perguruan silat seluruh Malaysia.
Bagaimanapun katanya, pada tahun berikutnya festival ditangguhkan disebabkan pandemik Covid-19 yang mengehadkan penganjuran program melibatkan ramai peserta.
Menurut Hazri, setakat ini pihaknya tekah menerima kira-kira 200 lebih penyertaan dari perguruan silat seluruh Malaysia, Indonesia, dan Thailand.
“Matlamat kita adalah hendak mengeratkan silaturahim antara perguruan-perguruan yang merupakan teras kepada jati diri Melayu kita.
“Namun, alhamdulillah kita menerima sambutan baik, bukan sekadar perguruan silat Pantai Timur dan dalam negara tetapi Nusantara, sebab terdapat juga wakil daripada Indonesia dan Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily, semasa hadir ke pejabat Harakah, di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Sekretariat Festival Main Gayong Nusantara, Mohd Shuhaimi Embong.
Menurut Hazri, festival berkenaan merupakan anjuran Persatuan Persaudaraan Pesilat Pantai Timur (PERSIMA) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan Terengganu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.
Katanya, pelbagai pengisian menarik sepanjang program termasuk persembahan perguruan silat, pertandingan silat jatuh, pameran 101 senjata Melayu, jamuan rakyat, forum perdana dan banyak lagi.
Festival akan dijalankan sepanjang tiga hari bermula pada Khamis sehingga Sabtu, bertempat di Pantai Teluk Kalong, Kemaman, Terengganu.