KOTA BHARU | Rakyat akan tetap keluar mengundi walaupun dalam keadaan hujan dan banjir untuk memilih calon pemimpin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, kemungkinan peratusan undi akan lebih tinggi berbanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
“UMNO adakan PRU pada musim hujan dan dia merasakan peluang untuknya menang selesa sebab mereka jangka peratusan keluar mengundi adalah kecil antara 50 hingga 60 peratus sahaja.
“UMNO jangka orang tak keluar mengundi, jadi dia akan menang selesa…Sebenarnya itu adalah jerat yang dipasang oleh UMNO yang akan kena diri sendiri
“Rakyat walaupun banjir, hujan dan payah, mereka akan tetap keluar mengundi…setiap yang keluar bukan undi UMNO. Rakyat akan pastikan UMNO tak memerintah lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan BERSATU Bahagian Kota Bharu Tahun 2022 di Dewan Perniagaan Cina di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu berkata, rata-rata rakyat tidak sabar untuk mengundi.
“Adakan PRU walaupun dah nak banjir ini adalah kerakusan kuasa UMNO semata-mata,” katanya.