KOTA BHARU | Matlamat untuk mencapai 30 peratus penguasaan ekuiti oleh Melayu-Bumiputera tidak pernah dapat digapai disebabkan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negara sekian lama.
Ahli Majlis Pimpinan BERSATU, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, mendakwa sehingga sekarang, negara masih ‘bergelut’ untuk mencapai sasaran berkenaan walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) sudah berakhir pada 1990.
Menurutnya, apa yang berlaku adalah sikap tidak bertanggungjawab kerajaan BN dan menterinya sendiri yang menjual pegangan 30 peratus saham yang diperuntukkan Bumiputera kepada sahabat dan pemimpin UMNO ketika itu.
“Dalam salah satu komponen DEB adalah untuk meningkatkan pegangan saham Bumiputra dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Ketika itu banyak syarikat bukan Bumiputera dalam senarai BSKL.
“Apabila disenaraikan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mahu memastikan 30 peratus dalam saham berkenaan diperuntukkan untuk Bumiputera.
“Ini bermakna, selaras dengan DEB, saham diberi kepada syarikat Bumiputera yang besar dan berkemampuan dengan tujuan supaya saham tersebut dipegang untuk satu tempoh moratorium, sekali gus objektif pegangan 30 peratus saham dalam syarikat bukan Bumiputra kepada Bumiputera akan mencapai matlamat DEB.
“Namun, apabila diberi kuasa kepada seorang daripada menteri BN ketika itu untuk mengagihkan saham berkenaan, sebaliknya beliau agihkan kepada sahabat dan pemimpin politik di kalangan UMNO,” katanya.
Menurutnya, sebaik saja saham itu diberi kepada sahabat dan pemimpin daripada UMNO, mereka menjualnya.
“Kita lihat dari sudut kecacatan bagaimana ia dimanipulasikan untuk pengagihan saham Bumiputra. Kita lihat sampai sekarang masalah ini masih berlaku bermula legasi daripada pemimpin BN.
“Jadi kita dalam BERSATU merasakan kecewa memandangkan sehingga sekarang masalah yang dimulai pemimpin daripada BN, kita terpaksa tanggung.
“Oleh itu, sekiranya BERSATU diberi mandat, apa yang kita lakukan adalah memastikan kebajikan rakyat menjadi agenda dan keutamaan kerajaan,” katanya
Beliau berkata demikian kepada media selepas Persidangan BERSATU Bahagian Kota Bharu Tahun 2022 di Dewan Perniagaan Cina di sini, hari ini yang dihadiri seramai 200 perwakilan daripada 38 cawangan dalam Bahagian Kota Bharu.
Tamat